Sunday, November 22, 2009

Anugerah Kecemerlangan Pusat Sumber Sekolah

Adik Anis Nabilah bt Mohd Zaimi (Tahun 5 Anggerik) telah dinobatkan sebagai penerima anugerah khas Pusat Sumber Sekolah bagi tahun ini. Beliau telah mengalahkan murid-murid lain dalam pertandingan kelolaan PSS.

Anis Nabilah membuat projek buku skrap "Didik-Puisi". Koleksi keratan puisi dalam sisipan Didik Berita Harian beliau telah menarik perhatian para juri.

Penyelaras PSS,Puan Ruzaini bt Ab Sattar menjelaskan bahawa buku skrap yang dihasilkan Anis Nabilah telah disusun dengan menarik dan boleh digunakan sebagai bahan rujukan murid-murid lain.

Tahniah dan teruskan dengan topik lain pula.


Anis Nabilah menerima hadiah dari Guru Besar

Saturday, November 21, 2009

UPSR 09: Pencapaian 5A Meningkat


Keputusan UPSR tahun ini kembali meningkat. Seramai 25 orang calun telah berjaya mencapai 5A dan peratus kelulusan am ialah 73.7%. Manakala pencapaian 4A ialah 17 orang. Seramai 152 orang calun telah menduduki peperiksaan tahun ini.

Guru Besar dalam ucapan semasa mengumumkan keputusan pada Khamis lalu mengucapkan syukur dan syabas kepada murid yang berjaya. Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan sokongan kepada semua program yang dilaksanakan terutama kepada guru-guru tahun 6 yang banyak membuat pengorbanan bagi meletakkan sekolah sebaris dengan sekolah cemerlang lain.

Berbagai program telah dilaksanakan seperti Kelas Serambi,Kelas Intensif Hujung Minggu ( Sains dan Bahasa Inggeris ),Kelas Tuisyen Malam,Kem Motivasi,Permuafakatan Ibubapa dan Sekolah,Seminar Teknik Menjawab Soalan,Gerak Gempur Soalan Lepas,Solat Hajat Murid,Solat Hajat Ibubapa,Insentif Ujian Bulanan oleh JK Peningkatan UPSR dan Kedai Sekolah dan beberapa program lain adalah antara penyumbang kejayaan ini.

Walaupun pencapaian ini gagal menepati sasaran sebenar (40 orang 5A),pihak sekolah berpuashati dan berazam untuk membuat peningkatan yang lebih besar pada UPSR 2010. Segala program ini akan diteruskan dengan membuat sedikit penambahbaikan.
Guru Besar juga menegaskan bahawa semua pihak tidak boleh menjadikan sekolah pinggir bandar sebagai alasan untuk tidak cemerlang kerana banyak sekolah luar bandar lain menunjukkan peningkatan yang ketara.

Beliau juga menasihat murid-murid yang tidak mencapai 5A agar tidak kecewa dan keputusan hari ini bukan bermakna kegagalan pada masa hadapan. Kuatkan azam dan usaha untuk membaiki presatsi masing-masing.Contohilah disiplin dan semangat belajar mereka ini.

Thursday, November 19, 2009

Program 'Golden Holidays'

SK Gong Dermin akan melangsungkan program ini selama 4 minggu bermula pada 22 Nov,2009 hingga 15 Dis,2009. Jadual program juga sudah diedarkan untuk semua murid berkenaan.

Program ini merupakan pakej persediaan murid-murid Tahun 5 menyediakan diri untuk ke Tahun 6 pada 2010. Kalau tidak silap penulis,pada peringkat awal pelaksanaan dahulu, guru-guru ETEMs juga terlibat menambah ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran di samping berlatih mengasah lidah dengan sebutan dan menggunakan perbendaharaan kata yang betul.

Menurut Guru Besar,taklimat kepada ibubapa telah dibuat semasa mengadakan perjumpaan ibubapa murid Tahun 5 (UPSR 2010) dalam bulan Oktober lalu.Boleh dikatakan semua ibubapa setuju dan yakin program ini akan memberi faedah kepada anak-anak mereka.
Untuk tahun ini murid-murid akan dikumpulkan dalam tiga kelas,iaitu Kelas 1 dan 2 adalah merupakan murid-murid yang mencapai tahap pembelajaran yang sepatutnya. Manakala Kelas ke 3 adalah merupakan murid-murid yang agak perlahan dalam penguasaan kemahiran-kemahiran tertentu dalam 4 subjek teras.

Program 3 hari seminggu ini akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga jam12.00 tengahari. Semua guru akan menggunakan modul yang disediakan. Giliran tugas mengajar telah dibuat mengikut keselesaan guru-guru sendiri sesuai dengan perancangan bercuti mereka. Boleh dikatakan setiap guru hanya akan menjayakan program ini sekali sahaja. Guru Besar menyifatkan kehadiran ke program ini sebagai ganti kepada giliran guru-guru bertugas masa cuti penggal persekolahan.

Encik Nawi amat mengharapkan ibubapa memberikan sokongan kepada program ini selaras dengan penyataan mereka semasa perjumpaan ibubapa lalu. Disamping itu sebahagian murid-murid Tahun 1 juga akan menjalani Program KIA2M seiring dengan Program 'Golden Holidays'ini.

Ayuh ibubapa, ayuh anak-anak pastikan program ini berjaya. Bersamalah kita meninggikan lagi martabat anak didik Sek.Keb.Gong Dermin.

Monday, November 16, 2009

Majlis Khatam Al Quran 2009

Panitia Agama Islam dengan kerjasama Unit J-Qaf dan Unit KAFA(Kelas Agama dan Fardu Ain)telah berjaya mengadakan majlis tersebut pada 16 November,2009 di Dewan Wawasan Sek.Keb.Gong Dermin. Majlis dimulakan pada jam 11.00 pagi.Tema majlis ini ialah " Al-Quran Pemangkin Insan Berwawasan Dunia dan Akhirat"

Tuan Haji Ab Ghaffar bin Mat Hussin ( Guru KAFA / Imam Muda Mukim Mentuan ) telah diberi tanggungjawab sebagai Khalifah pada majlis tersebut.
Seramai 97 orang murid telah pun khatam Al-Quran pada tahun ini.Mereka terdiri dari murid-murid Tahun 2 hingga 6.

Guru Besar semasa membuat ucaputama telah mengucapkan tahniah dan syabas kepada murid berkenaan dan juga pihak panitia.Beliau menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab seorang muslim untuk khatam A-Quran sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

En.Nawi juga mengimbau kenangan semasa beliau masih di sekolah rendah yang sentiasa berazam untuk khatam Al-Quran sebelum masuk persekolahan menengah.Beliau menceritakan bagaimana usaha belajar Al-Quran tanpa mengira masa tambahan pula disiplin ayahnda dan bondanya yang akan merotan jika tidak 'mengaji'.Alhamdulillah beliau berjaya khatam sebanyak dua kali semasa di peringkat umur sekolah rendah.

Beliau juga menetapkan KPI untuk panitia Pendidikan Agama Islam,J-Qaf dan KAFA supaya seramai 50% murid akan khatam pada tahun 2010.Mereka mesti meletakkan agenda ini dalam perancangan strategik unit berkenaan.

Guru Besar juga hairan dengan bilangan murid khatam yang sepatutnya lebih banyak memandangkan sekolah ini berada berhampiran dengan pondok ( Pusat Pengajian Pondok Pasir Tumboh ). Ibubapa diminta merenung kembali peranan mereka dan tidak meletakkan tanggungjawab ini kepada sekolah sahaja.

Akhir sekali beliau menyeru murid-murid supaya ' ngaji dan namat' sebelum masuk sekolah menengah.




Saturday, November 14, 2009

Sukaneka Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan(RIMUP)

Unit Hal Ehwal Murid(HEM) telah berjaya mengadakan Sukaneka RIMUP pada hari Rabu (11 Nov,2009)lalu bermula jam 8.40 pagi.Sukaneka tersebut diadakan di Dewan Wawasan,Sek.Keb.Gong Dermin dan dirasmikan oleh En.Nawi Bin Mohammad(Guru Besar)

Seramai 384 orang murid telah mengambil bahagian dalam 12 acara yang dijalankan mengikut peringkat umur ( Tahun ).Selain itu penganjur juga menjemput tiga sekolah berhampiran untuk mengambil bahagian dalam kategori sekolah jemputan.

Objektif utama ialah untuk melahirkan murid-murid yang mampu menjalin perpaduan sesama mereka dan juga rakan-rakan dari sekolah jemputan. Disamping itu jaga mereka akan sentiasa menghargai perpaduan yang terjalin selama ini.

Walaupun penganjuran adalah secara ringkas dan mengikut bajet yang terbatas,murid-murid telah menunjukkan prestasi penyertaan yang amat memuaskan.
Mereka amat seronok dan meminta sukaneka dilanjut dengan beberapa acara tambahan diadakan.Namun Penolong Kanan HEM (Pn.Hajjah Siti Khadijah bt.Abdullah) tidak dapat memenuhi permintaan tersebut lantaran kesuntukkan masa dan bajet yang amat terhad.

Semoga acara ini dapat diteruskan lagi pada tahun 2010 dengan jemputan dari sekolah Jenis Kebangsaan pula.




Tuesday, November 10, 2009

Kem Literasi Al-Quran (KLAQ)

Kem Literasi Al-Quran (KLAQ) Peringkat PPD Kota Bharu telah diadakan pada 9 - 10 November,2009. KLAQ dilangsungkan serentak di lima venue.Kem dua hari ini bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 4 petang.

Sek Keb Gong Dermin antara sekolah yang terpilih sebagai venue. Sebanyak 5 buah sekolah terlibat ( SK Padang Garong 1,SK Lundang,SK Kota Jembal,SK Banggu dan SK Gong Dermin ) dan disertai oleh seramai 100 orang murid Tahun 4. Fasilitator pula terdiri dari kalangan guru-guru J-Qaf dari sekolah berkenaan dan diketuai oleh Ustaz Herman ( Jurulatih Utama J-Qaf PPD Kota Bharu)

En.Nawi b Mohammad (Guru Besar,SK Gong Dermin) telah memberi kerjasama penuh dan sentiasa membuat tinjauan, mendapati peserta-peserta KLAQ telah memberi tumpuan penuh dan melibatkan diri secara aktif dengan kesedaran mereka untuk menguasai Al-Quran.

Menurut Ustaz Mohd Faisal b Mohd Nawawi ( fasilitator SK Gong Dermin ) kem ini perlu diteruskan pada masa hadapan agar bilangan murid-murid yang belum menguasai Al-Quran dapat dikurangkan disamping mereka seronok belajar dalam persekitaran yang berbeza dan terancang.

Saturday, November 7, 2009

Syabas Red Warriors

Olek...Olek...Olek...Olek....
Sumbat gol.....Sumbat gol....

Tahniah kepada semua pemain bolasepak Kelantan yang telah berjaya ke final Piala Malaysia. Penantian hampir 40 tahun semua rakyat Kelantan bakal direalisaikan pada malam ini. Kehadiran hampir 60,000 ribu penyokong yang mengharungi air bah sejak semalam dan ditambah lagi dengan anak Kelantan di ibukota akan menyemarakkan lagi perjuangan pemain di padang.

Pasukan Kelantan yang diterajui Tan Sri Annuar bin Musa telah membuktikan bahawa disiplin dan komitmen yang tinggi akan menghasilkan kejayaan. Disamping itu pujian juga harus diberikan kepada Kelab Penyokong Kelate yang sentiasa menyokong pasokan Red Warriors.

Kami mendoakan Kejayaan Red Warriors. Kepada penyokong di stadium harap dapat jaga kelakuan anda ,jangan sampai menjadi tekanan kepada pemain dan berhati-hati di jalanraya.

"GOM0 KELATE GOMO"

Wednesday, November 4, 2009

Lawatan Pemantauan dan Khidmat Bantu PSS

Pusat Sumber Sekolah (PSS) telah menerima Lawatan Pemantauan dan Khidmat Bantu dari pihak Pusat Kegiatan Guru Tapang,Kota Bharu,Kelantan pada 3 November,2009. En.Mohd Faizal bin Md.Noor,Pegawai Teknologi Pendidikan (IT) mewakili PKG Tapang telah mengadakan penyeliaan dan perbincangan dengan Penyelaras Pusat Sumber Sekolah (Puan Ruzaini bt Ab. Sattar)

Beberapa aspek yang dibincangkan ialah Pengurusan Pusat Sumber Sekolah,Penggunaan School Net,Pelaksanaan EduWeb,Penggunaan Makmal Komputer Sekolah,Penggunaan dan Keberkesanan Bahan Pelbagai Media dalam Pengajaran dan Pembelajaran,Program NILAM dan beberapa isu lain yang ditimbulkan.

Kedua-dua pihak berpuashati dan pihak PSS menerima baik segala teguran dan cadangan yang dikemukan.

Tuesday, November 3, 2009

Mesyuarat Perancangan Sekolah 2010

Jawatankuasa Perancangan Sekolah telah mengadakan mesyuarat tersebut pada 1 November,2009 bermula jam 8.30 pagi di Bilik Gerakan Sekolah.
Menurut Guru Besar,En.Nawi bin Mohammad mesyuarat ini diadakan lebih awal bagi mengkaji dan menilai beberapa perkara yang perlu dimantapkan serta ada yang perlu dibuat penambahbaikan dan seterusnya merumuskan garis panduan dan halatuju sekolah pada tahun 2010. Pentadbiran sekolah membuat keputusan secara kolektif kerana kejayaan dan kecemerlangan sekolah bukan hasil mana-mana individu tetapi sentiasa berperanan dan bergerak dalam satu pasukan.

Berbagai keputusan dan dasar telah dicapai dan penolong-penolong kanan diminta supaya menggerakkan unit masing-masing dengan mengadakan mesyuarat pertama mereka sebelum penggal persekolahan berakhir.

Mesyuarat tamat pada jam 1.30 petang.


( ahli mesyuarat memberikan komitmen masing-masing dalam suasana tenang
)

Monday, November 2, 2009

LDP Excell Untuk Pengajaran


( sesi makan tengahari ) ( peserta tekun memberikan perhatian )


( Grup ustazah saling membantu ) ( Pn.Nor Madiah dan Pn.Ruzaini )

Tanggal 31 oktober,2009 seramai hampir 45 orang guru sekolah telah menghadiri kursus penggunaan ms excell anjuran sekolah. Kursus dijalankan di makmal komputer sekolah. Menurut penyelaras LDP,Pn.Siti Maryam bt Mohd Zain kursus sehari suntuk yang bermula jam 8.30 pagi ini diadakan adalah atas permintaan guru-guru sendiri dan menggunakan tenaga dalaman sebagai fasilitator. Antaranya ialah En.Ajaha b Ab Kadir,En Yahya b Mat Arop dan En.Amran bin Chik

Maklumbalas dari peserta kursus adalah amat positif.Kefahaman dan penguasaan mereka telah meningkat dan mereka mengharapkan agar beberapa siri kursus yang lain dapat diadakan lagi pada masa akan datang.