Thursday, September 16, 2010

Solat Hajat UPSR

_________________________________________________________________
Ruj.Kami: 06/13 Jld.B(38)
Tarikh : 13 September,2010

Ke Majlis,
Yang DiPertua PIBG,
Ahli Jawatankuasa PIBG,
Guru-guru dan Ibubapa / Penjaga Murid Tahun 6,

Tuan / Puan ,

MAJLIS SOLAT HAJAT UPSR 2010
Adalah dengan segala hormatnya,dimaklumkan bahawa majlis tersebut akan diadakan
seperti berikut :
Tarikh : 15.09 . 2010 ( RABU )
Masa : 7.00 petang
Tempat : Dewan Sri Dermin,
Sekolah Kebangsaan Gong Dermin,Kota Bharu.

2. Pihak persatuan dengan segala besar hatinya menjemput dan mempersilakan tuan / puan hadir bersama anak ( calun UPSR ) untuk memohon hidayah dan memberkati majlis ini.

3. Aturcara majlis adalah seperti berikut :

7.00 petang - Ketibaan para ibubapa dan tetamu.
7.16 “ - Solat Maghrib Berjemaah
- Solat Hajat
- Bacaan Yasin / Tahlil
- Solat Isya’
9.30 malam - Majlis bersurai.

4. Diharap tuan / puan tidak menguzurkan diri.

Sekian , terima kasih.

“ BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ”

Saya yang menurut perintah,


( NAWI BIN MOHAMMAD )
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Gong Dermin,
Kota Bharu,Kelantan.

Thursday, September 9, 2010

Eid Al Mubarrak

Setelah 29 hari kita berpuasa,maka insyaAllah esok 10 September,2010 kita akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.Blogger mengambil kesempatan berharga ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua warga SKGD,pengunjung blog ini,bekas murid sekolah ini dan seterusnya muslimin dan muslimat semua.

Semasa menyambut hari mulia ini kita janganlah terlalu leka sehingga melupakan perkara yang wajib. Keutamaan kepada murid-murid Tahun 6 yang akan menghadapi UPSR pada 20-22 September ini. Jangan jadikan alasan keseronokan beraya menjadikan kita lalai mentelaah pelajaran.Ingatlah bahawa peluang mencapai kejayaan cemerlang terbuka untuk semua orang.

Berkaitan dengan merayakan aidilfitri,kita juga mesti menggunakan suasana meriah ini dengan memohon maaf sesama insan terutama ibubapa tercinta dan sanak saudara tersayang.Kemeriahan hari raya ini kita gunakan untuk mengenali sanak saudara kita yang jauh dan dekat yang selama ini kita tidak sedar bahawa mereka adalah waris kita juga.Semoga kunjung mengunjung akan merapatkan lagi hubungan persaudaraan

Perkara berkaitan dam,dum,dam..(mercun)tu,sama-samalah kita tinggalkan. Jangan sampai kita berbeza dengan orang lain disebabkan mercun.Jika orang lain ada 10 jari...maka janganlah pula kita hanya mempunyai 8 atau tujuh jari sahaja. Dah la begitu...jari kita pula "kerekot" lantaran mercun meletup d tangan.

Akhir kalam,Selamat Hari Raya Aidilfitri,maaf zahir dan batin.

Wednesday, September 8, 2010

Warga SKGD Prihatin

Kira-kira dua minggu lalu,kita dikejutkan dengan bencana yang menimpa beberapa orang murid sekolah kita.Rumah mereka terbakar... Dugaan ini berlaku semasa mereka sedang belajar di sekolah,sekitar jam 11.30 pagi.

Sebanyak 8 buah rumah di Pondok Terusan Pasir Tumboh,hangus dijilat api.Kejadian ini berpunca dari kerosakan litar elektrik salah sebuah rumah tersebut.Kedudukan petempatan yang agak padat ini menyukarkan pihak bomba untuk memadamkan api.
Warga Sekolah juga tertanya-tanya bila melihat kenderaan bomba masuk ke sekolah untuk mendapatkan bekalan air dari pili bomba yang terdapat di kawasan sekolah.

Unit Hal Ehwal Murid membuat pungutan derma kilat dan merayu sumbangan barangan untuk diberikan kepada mangsa sebagai bantuan awal.

Alhamdulillah,sebanyak 8 karung pakaian dapat dikumpulkan serta sejumlah wang derma diterima.Ada juga kalangan guru yang menderma bantuan makanan untuk mereka.

Penolong Kanan HEM,Puan Siti Khadijah bt Abdullah telah mewakili Guru Besar untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan semasa membuat kunjungan ke rumah mangsa minggu lalu.


Wednesday, September 1, 2010

Majlis Berbuka Puasa

18 Ogos: Seperti kelaziman bulan Ramadhan lalu,Kelab Guru dan Staf Sekolah telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa.Pada kali ini,majlis ini dibuat di kantin sekolah dengan dihadiri hampir semua guru dan staf sekolah di samping beberapa orang ahli keluarga mereka.

Majlis bermula jam 6.3o petang dimulai dengan tazkirah yang disampaikan oleh Cikgu Nik Rosli b Ab.Hamid(Cikgu Nik Li). Beliau mengupas tentang kefarduan puasa kepada umat dan kelebihan melakukan ibadat sepanjang bulan ini.




Sekitar jam 7.10 petang,Cikgu Nik Li sekali lagi memimpin semua yang hadir untuk bersama-sama bertahlil.

Menu pada petang tersebut amat menyelerakan iaitu Nasi Kerabu Tumis,ayam percik,daging bakar,ikan celup tepung,solok lada serta kueh-mueh yang masing-masing bawa dan hidangkan untuk dimakan bersama. Boleh dikatakan pakej nasi kerabu yang lengkap dan menyelerakan.



Mereka kemudiannya melakukan solat maghrib berjemaah sebalum majlis bersurai.
Kita difahamkan para guru yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang telah berpakat menaja majlis ini.

Terima kasih dan semuga rezeki mereka akan bertambah,InsyaAllah.

Tuesday, August 31, 2010

Serangan Angin Kencang

22 Julai 2010: Hampir seluruh negeri dilanda serangan angin kencang sekitar jam 4.30 petang.Tiupan angin yang teramat kuat itu berlaku secara tiba-tiba dan tanpa diduga oleh sesiapa.Keadaan cuaca pada tengahari itu amat baik namun bertukar sebaliknya pada petang itu.

Sekolah kita juga terkena serangan angin tersebut yang mengakibatkan kerosakan pada bumbung di Blok D ( Blok lama 2 tingkat), Kelas Prasekolah 1 dan Kelas Prasekolah II.
Di Blok D,bilik yang terlibat ialah Bilik Aktiviti J-Qaf dan sebahagian Bilik Etems 1.
Sebanyak 10 keping bumbung telah tercabut dan melayang ke tanah,hancur dan ada juga yang menimpa siling bilik tersebut.

Manakala di Kelas Prasekolah hanyalah kerosakan kecil berlaku di mana atap zink dan perabung telah tercabut paku.


Kerugian dianggarkan sebanyak RM 5,000.00 dan lawatan oleh Pegawai Pembangunan PPD Kota Bharu pada pagi 25 Julai telah memberi kelegaan kepada pihak sekolah. Beliau meminta pihak sekolah membaiki kerosakan tersebut dengan kos yang dluluskan sebanyak RM 4,500.00



Monday, August 16, 2010

Malam Nisfu Syaaban dan Solat Hajat UPSR

26 Julai,2010(Isnin):Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Unit Peningkatan UPSR telah menganjurkan majlis Nisfu Syaaban dan Solat Hajat UPSR yang diadakan di Dewan Wawasan sekolah.

Majlis bermula sebelum maghrib ini disasarkan kepada murid-murid tahun 6 bersama guru-guru dan kakitangan sekolah.Pengisian program ialah :
- Solat Maghrib berjemaaah
- Bacaan Yasin sebanyak 3 kali beramai-ramai
- Solat Isya' berjemaah
- Solat Hajat
Kesemua 4 orang ustaz terlibat mengimami setiap aktiviti tersebut.

Seperti mana yang kita maklum,Nisfu Syaaban merupakan malam kemuncak untuk penghitungan amalan baik dan buruk manusia sepanjang tahun berkenaan. Menjelang tengah malam para malaikat akan membawa 'buku rekod' amalan kita dan akan diganti dengan 'buku' yang baru.

Kita mengharapkan agar 'akaun' yang lama ditutup dengan kegiatan mulia dan doa memohon agar diberi pembalasan setimpal manakala 'buku' yang baru juga direkodkan dengan aktiviti yang mulia.Semoga ianya akan berterusan dan kekal abadi.

Panitia tidak melibatkan ibubapa dalam program ini kerana difahamkan pihak PIBG akan mengajurkan Majlis Solat Hajat khusus antara ibubapa-murid dan guru menjelang peperiksaan UPSR iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Semoga segala kerja kita ini mendapat ganjaran setimpal dan doa kita dimakbulkan,InsyaAllah

Pertandingan Muazzin dan Al-Hafizah Cilik






14 Julai,2010: Unit Kokurikulum telah menganjurkan pertandingan tersebut dengan penglibatan murid-murid Tahap II.Sasaran penyertaan ialah untuk murid-murid Tahun 4 dan 5 sahaja.Manakala murid Tahun 6 dikecualikan kerana mereka sedang mengikuti program khas UPSR.

Seramai 8 peserta lelaki mengambil bahagian dalam pertandingan Muazzin di mana mereka diminta mengalunkan azan dan iqamat.

Manakala peserta perempuan seramai 7 orang pula terlibat dalam pertandingan Al-Hafizah Cilik.Setiap peserta diminta membaca beberapa surah dalam Muqqadam secara undian.

Pertandingan ini mendapat kerjasama dari dua orang siswi Institut Perguruan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu iaitu Cik Nor Adrina Elani bt Hashim dan Cik Nik Hakimah bt Ghani.Mereka menjalankan tugasan Internship Semester 8 yang perlu didokumentasikan.

Pertandingan dijalankan sebagai aktiviti Kokurikulum bermula jam 1.20 petang dan tamat pada jam 3.20

Sunday, August 8, 2010

Kembara Isra' dan Mikraj Rasulullah S.A.W




Setiap tahun Panitia Pendidikan Islam akan menganjurkan ceramah sempena memperingati salah satu mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad S.A.W iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj.

Peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum hijrah itu. Allah ingin menarik perhatian kita sebagai hambanya bahawa rasulnya yang ummi, akan diajar supaya menjadi guru yang agung kepada seluruh umat manusia hingga akhir zaman.

Pengalaman Baginda Rasulullah menjalani kembara itu dengan melihat berbagai keadaan memberi peringatan kepada seluruh umat supaya taat dan menjalani perintah Allah tanpa ragu-ragu.

Sambutan dibuat pada 11 Julai lalu bermula jam 11.00 pagi dengan objektif berikut:
1. Memberi gambaran gambaran perisriwa Isra' dan Mikraj Rasulullah S.A.W dan pengajaran kepada semua murid.
2. Mendidik jiwa murid supaya istiqamah mencontohi cara Rasulullah S.A.W melakukan ibadah solat dalam kehidupan seharian.
3. Merapatkan ukhuwah islamiah dalam kalangan warga sekolah disamping mewujudkan budaya bekerjasama dan saling membantu bagi menjayakan setiap program sekolah.

Pengisian program ialah :
- Ceramah Peristiwa Isra' dan Mikraj untuk murid-murid Tahap II
- Pertandingan mewarna untuk murid-murid Tahap I

Penceramah jemputan ialah Ustazah Puan Nik Hafizah bt Nik Yaacob, guru motivasi dan pemulihan khas dari Sekolah Kebangsaan Mentuan,Kota Bharu.

Majlis berakhir paja jam 1.00 petang.

Wednesday, June 23, 2010

UBB- Penggal 1/2010

Sudah empat hari kita belajar dalam penggal kedua sesi persekolahan 2010.
Bila kita menoleh kembali ke penggal pertama dulu,rasanya terlalu cepat masa meninggalkan kita. Bagi murid tahun 1,bunyi meraung,merengek dan berbagai gaya menagih simpati dan perhatian ibubapa masih terdesing di telinga seolah-olah berlaku semalam.

Namun antara sedar atau tidak,ujian harus dibuat untuk menentukan samada murid-murid sudah menguasai sukatan pelajaran yang telah diajar.

Ujian Bulanan Berkala Penggal 1 akan bermula minggu depan.
Tahap I : ( 28 - 29 Jun,2010 ) Isnin hingga Selasa
Tahap II: ( 28 - 30 Jun,2010 ) Isnin hingga Rabu

Perubahan masa UBB untuk Tahap I dibuat kerana Jawatankuasa Peperiksaan dan Penilaian mendapati tempoh 3 hari sebelum ini terlalu panjang dan tumpuan murid-murid telah menurun.

Apa pun yang penting semua pihak harus bersedia dan tunjukkan kebolehan sebenar anda.
"Selamat Menempoh Peperiksaan"

Sunday, May 30, 2010

Selamat Bersara Kak Mah


Esok,tanggal 31 Mei,2010 sekolah bakal kehilangan seorang guru yang berkaliber,dedikasi amat tinggi,penyayang,ringan tulang,tidak berkira dalam memberi sumbangan dan segala-galanya. Seorang guru yang dimaksudkan ialah Puan Hajjah Wan Nor Azmah bt Sulaiman yang juga dipangil 'Kak Mah'.

Kak Mah memilih untuk bersara pada usia 56 tahun setelah berkhidmat sebagai pendidik selama 33 tahun. Beliau telah berkhidmat di banyak buah sekolah di beberapa negeri seperti Pahang,Melaka,Serawak dan tanah tercinta Kelantan Darulnaim.

Ketika ditanya,"kenapa Kak Mah tak sambung ke umur 58?"..." tak pa lah sir,bui lah peluang orang lain pulak..Kak Mah pun sudah mendapat segalanya dalam perguruan dan ramai doh anak murid berjaya...Kak Mah puas "

Apa yang saya ingat Kak Mah boleh diarah bertugas di mana sahaja.Beliau pernah di kelas Tahun 1 dan Tahun 2. Kemudian bila Prasekolah diperkenalkan,dialah perintis dikala guru lain tidak yakin.

Perkhidmatan terakhir beliau ialah di Kelas Pemulihan. Di situlah sifat keibuannya terserlah di mana belaiu tidak pernah mungkir dan culas menjayakan kelas tersebut dengan teliti. Buta 3M hinggalah Linus ,semuanya digalas dengan sepenuh hati.

SKGD tentu akan merasa kehilangan 'mama' di kelas tersebut.Kita semua mendoakan agr Kak Mah mendapat kebahagiaan unggul selepas ini dan jangan segan untuk datang menjenguk malah mengetuk kami jika kami alpa.

Terima kasih dan Selamat Bersara Kak Mah. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik buat Kak Mah sekeluarga.

Tuesday, May 25, 2010

Ayuh Senamrobik





Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Sekolah

Menyanyikan Lagu'"Guru Malaysia" dan lagu tema Hari Guru

Simbolik- Membelah Kek Hari Guru( Dari Guru Kepada Semua Guru)
Membaca Perutusan YB Menteri Pelajaran Malaysia

Membaca Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Ikrar Guru


Sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada tahun ini diadakan pada 19hb Mei lalu dalam keadaan meriah dan penuh bermakna sesuai dengan tema "Guru Pembina Negara Bangsa-terima kasih,cikgu"

Jawatankuasa Sambutan telah menunda tarikh yang sepatutnya disambut pada 16hb Mei kerana ketiadaan Guru Besar yang telah membawa rombongan Majlis Guru Besar Kota Bharu 1 ke sambutan peringkat kebangsaan di Kuantan,Pahang.

Hampir keseluruhan guru dan kakitangan mengambil bahagian dalam beberapa acara yang diatur seperti majlis perasmian,senamrobik,acara sukan dan persembahan guru-murid.
Terima kasih,cikgu.

Aksi Guru Dalam Acara Sukan Hari Guru

Chef de Sandwich

Menggubah Kertas Tisu dan sejadah


Mengupas dan Mengukur Kelapa


Semua guru dan kakitangan mengambil bahagian dan dipecahkan kepada 4 pasukan. Mereka berganding bahu secara 'sporting' dalam semua acara yang dijalankan serentak.
Manakala pengawas sekolah bertindak sebagai pengadil dan memberi markah berdasarkan kerjasama,kreativiti,kepantasan,kekemasan kerja,rasa dan hiasan.

Sunday, May 16, 2010

IKRAR HARI GURU

IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Guru Pembina Negara Bangsa

Hari ini,16 Mei,2010 merupakan hari yang amat bermakna buat seluruh warga guru. Seluruh negara,semua warga guru akan menyambut "Hari Guru". Walaupun sambutan tidak sehebat hari raya namun warga guru akan menyambutnya dalam suasana penuh insaf terutama mengenang kembali sumbangan mereka terhadap negara amnya dan anak didik khususnya.

Tema yang dipilih ialah," Guru Pembina Negara Bangsa". Begitu besar harapan mahupun pengiktirafan kerajaan kepada warga guru. Semua guru di sekolah ini diharapkan merasa bangga dan insaf dengan tema ini. Renunglah sejenak apakah sumbangan kita selama ini kena atau selaras dengan tema yang dipilih.

Pada hari Jumaat lalu, para imam(khatib) telah membacakan khutbah yang telah diselaraskan oleh Majlis Agama Islam Kelantan yang mengupas tentang peranan dan kerja buat kita selama ini.

Sambutan di peringkat sekolah akan dibuat dalam dua peringkat :

16Mei,2010 : Pelancaran Hari Guru Peringkat Sekolah dengan pengisian :
Membaca perutusan, Ikrar Hari Guru dan Menyanyikan Lagu Guru
Malaysia

19 Mei,2010: Sambutan dan acara sukan peringkat sekolah.

Sambutan terpaksa dibuat dua peringkat memandangkan Tuan Guru Besar tidak berada di sekolah pada hari ini. Beliau telah diplih mewakili Majlis Guru Besar Kota Bharu 1 ke Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuantan ,Pahang.

Bagi pihak Tuan Guru Besar, saya mengucapkan'"Selamat Hari Guru dan Terima Kasih,Cikgu"

Maklumat lanjut :Portal Hari Guru