Saturday, February 6, 2010

Majlis Permuafakatan Ibubapa 2010






Pagi tadi,bermula jam 8.30 pagi telah diadakan Majlis Permuafakatan Ibubapa Murid Tahun 6/2010. Majlis ini diadakan secara 3 dalam 1 ,iaitu Majlis Permuafakatan , Motivasi Ibubapa dan Murid dan Majlis Dialog Ibubapa Guru Tahun 6. Majlis dilangsungkan di Dewan Wawasan, Sekolah Kebangsaan Gong Dermin.Hampir 95 peratus ibubapa dan murid tahun 6 hadir dan ini menunjukkan tahap kecaknaan ibubapa yang amat tinggi walaupun majlis dilangsung pada hari cuti hujung minggu.

Ucaputama telah disampaikan oleh En.Nawi bin Mohammad (Guru Besar). Intipati ucapan beliau ialah:
1. SKGD sekarang berada pada landasan yang betul untuk mencapai kecemerlangan.
Pencapaian 5A sepanjang lima tahun menunjukkan berlaku peningkatan walaupun tidak merupakan secara 'lompatan saujana'. Pencapaian tahun 2009 adalah yang terbaik setakat ini ( 25 orang mencapai 5A dan 17 orang mendapat 4A 1B )

2. Target 2009 ialah 41 orang mendapat 5A hampir tercapai dan sekiranya bilangan 4A1B diambilkira maka bilangannya adalah melebihi target.

3. Target 2010 pula ialah seramai 45 orang akan mencapai 5A dengan bilangan calon seramai 140 orang/

4. Menyeru ibubapa agar menaruh kepercayaan kepada pihak sekolah memandangkan sekolah ini masih lagi terbaik jika dibandingkan dengan beberapa buah sekolah sekitar. Ibubapa tidak perlu membuat keputusan terburu-buru memindahkan anak-anak ke sekolah berdekatan.

5. Guru Besar pada masa ini sedang membetulkan sikap (tuning-up)murid-murid yang sebahagiannya masih tidak serious belajar seolah-olah mereka bukan calon UPSR dengan mengambil sikap sambil lewa dalam membuat kerja rumah yang diberikan. Ibubapa jangan terkejut dan melatah jika beliau menalipon dalam tempoh terdekat memberitahu sikap anak-anak masih mengulangi kesilapan yang sama berulangkali.

6. Pihak sekolah sentiasa bersikap terbuka dan bersedia pada setiap masa menerima kedatangan ibubapa untuk berbincang,mendapatkan maklumat,memberi cadangan atau aduan berkaitan pembelajaran anak-anak.

Guru Besar juga telah membentangkan sebanyak 17 aktiviti Program Peningkatan Pencapaian UPSR yang dirancangkan untuk dilaksanakan untuk mencapai hasrat tersebut dengan anggaran belanja sebanyak RM 46,000.00.

Ibubapa hanya diminta membuat sumbangan sebanyak RM 100.00 manakala perbelanjaan lain akan ditanggung oleh pihak sekolah dan juga PIBG. Peratusan sumbangan ibubapa hanyalah 30% sahaja. Beliau menasihatkan ibubapa agar tidak terlalu 'berkira' dan culas untuk menyumbang serta mendedahkan bahawa terdapat ibubapa murid UPSR 2009 yang culas dan masih berhutang dengan sekolah untuk program sama pada tahun lalu. Semua calon akan dilibatkan dalam program yang dirancangkan ini maka tiada alasan untuk ibubapa enggan memberi sumbangan sedangkan pada masa yang sama pihak sekolah terutama guru-guru tidak pernah meletakkan harga dan 'berkira' dalam mencapai kecemerlangan.

Manakala slot kedua pula ialah ceramah motivasi yang disampaikan oleh Encik Ghazali bin Salleh,Guru Bimbingan dan Kauseling ,SMK Long Ghafar. Ceramah yang disampaikan amat berkesan dengan penglibatan ibubapa dan anak-anak serentak. Malah ada anak-anak dan ibubapa yang sama-sama menitiskan airmata serta tersedu-sedu bila masing-masing menyatakan hasrat dan cita-cita dalam peperiksaan UPSR nanti. Walaupun Dewan Wawasan ini agak panas,namum mereka tidak berganjak dan memberikan tumpuan yang penuh.

Pihak sekolah juga mengambil kesempatan menunjukkan capaian internet mengenai Program Pembelajaran Interaktif Zoom-A dengan harapan lebih ramai murid yang akan turut serta dengan bayaran hanya RM 10.00 setahun.

Akhir sekali diadakan majlis dialog ibubapa dan guru-guru matapelajaran. Ibubapa dan anak-anak beredar mengikut kelas masing-masing dan penjelasan mengenai pencapaian semasa anak-anak disampaikan oleh guru matapelaran masing-masing.

Majlis berakhir jam 1.30 petang dan dirasakan terlalu singkat untuk mereka berbincang dan berdialog. Namun kesemua yang hadir memberikan reaksi yang membanggakan. Jika kerjasama ini berterusan nescaya target ini tidak mustahil untuk dicapai. Selepas ini akan diadakan pula Majlis Solat Hajat sebagai menandakan letak kerja Program Peningkatan UPSR 2010.

No comments:

Post a Comment